Sabtu, 22 November 2014

PADAMNYA SEBUTIR PERMATA ADAT

 
Balungkasawa

Professor Norhalim bin Haji Ibrahim

 
Profesor Norhalim bin Haji Ibrahim seorang sejarahwan yang begitu meminati perkembangan keunikan sejarah Negeri Sembilan khasnya Adat Perpatih. Beliau telah mula mendekati, mengkaji dan menghayati likuan Adat Perpatih sejak berada di bangku sekolah seawal tahun 1960an. Namun keindahan kegemerlapan cahaya permata itu telah hilang pancarannya apabila beliau kembali ke sisi Allah S.W.T. pada 4 September 2008 bersamaa 4 Ramadhan 1429H.

Ilang tak bocari,
cice tak bopongut,
tobonam tak bogali.

Norhalim bin Haji Ibrahim telah dilahirkan di Kampung Tanjung Keling, Rembau, Negeri Sembilan pada 12 Februari 1945, merupakan anak yang sulong daripada enam adik-beradik. Ayahandanya bernama Haji Ibrahim bin Atin seorang bekas guru lepasan SITC, juga merupakan seorang penulis buku, novel, skrip sandiwara radio di era tahun 1960an dan pengkaji Adat Perpatih. Bapanya daripada suku Paya Kumbuh telah berkahwin dengan Hajah Meriam bt Mat Yatin, daripada suku Tanah Datar.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Terentang sehingga darjah enam. Tahun 1960 meneruskan pendidikan menengah di Undang Rembau Secondary School (URESS) dan memperolehi kelulusan dalam Malayan Certificate of Education (MCE) pada tahun 1965. Norhalim telah menjadi guru sementera di Sekolah Menengah Astana Raja selama setahun. Pada tahun 1966, apabila RTC dibuka, beliau telah berpeluang mengikuti kursus perguruan melalui program tersebut sehingga memperolehi Sijil Perguruan. Sekolah pertama beliau bertugas selepas kursus perguruan adalah di Gajah Behrang School, Melaka.

Di atas sikap inginkan kemajuan dan mempertingkatkan ilmu, pada tahun 1968 beliau telah mendapat tawaran mengikuti pengajian di Universiti Malaya, dalam bidang Sains Kemasyarakatan. Dalam tahun 1972, beliau telah ditawarkan menjadi pensyarah di Universiti Pertanian Malaysia dalam bidang yang diminati Sains Kemasyarakatan. Sebelum itu selepas berjaya memperolehi Bacelor Of Education (Hons) dari Universiti Malaya, beliau meneruskan kerjayanya sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Abdul Manap, Johol. Selepas enam bulan menjadi guru, Norhalim telah ditawarkan sebagai pensyarah di Universiti Pertanian Malaysia, Serdang. Tahun 1975 beliau telah meneruskan pengajiannya di University Of Hull, England sehingga berjaya memperolehi Master of Education dalam bidang Science Sosiology dengan pengkhususan Adat Perpatih dan perkembangan masyarakat Melayu Negeri Sembilan.

Di atas kegigihan dan kajian yang dijalankan berkaitan dengan bidang ilmu kemasyarakat, beliau telah dilantik sebagai Profesor Madya oleh Universiti Putera Malaysia dalam tahun 1980an. Norhalim merupakan satu-satu sejarahwan yang membuat penerokaan dan kajian khusus berhubung dengan Adat Perpatih dan sejarah perkembangan masyarakat Melayu luak beradat di Negeri sembilan. Hasil daripada minat dan penerokaan tersebut telah diterbitkan dalam bentuk buku, jurnal, pembentangan kertas kerja, juga dalam media massa. Usaha beliau dapat diikat melalui kata perbilangan adat,

ilang dicari,
cice dipungut,
tobonam digali,
kok usang dipobaharui,
kok koyak ditampa,
kok lapok dikajangi.

Antara lain hasil usaha beliau yang diterbitkan adalah :

  1. Adat Perpatih
1993
Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, Kuala Lumpur
  1. Adat Perkahwinan
1996
Penerbit Fajar Bakti  Sdn Bhd, Shah Alam
  1. Negeri Yang Sembilan
1995
Penerbit Fajar Bakti  Sdn Bhd, Shah Alam
  1. Hikayat Naga Bertapa
1996
Penerbit Fajar Bakti  Sdn Bhd, Shah Alam
  1. Indeks Warisan
1999
Persatuan Sejarah Malaysia, Caw. N.S.
  1. Terombo Atau Perbilangan?
2003
AFY Communications, Bandar Baru Bangi
  1. Glosari Adat Negeri Sembilan
2003
AFY Communications, Bandar Baru Bangi
  1. Sejarah Linggi
1998
Penerbit Fajar Bakti  Sdn Bhd, Shah Alam

Prof Norhalim banyak membicarakan Adat Perpatih dalam penulisan jurnal, terutama Jurnal Warisan, Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Negeri Sembilan. Antara judul yang dibicarakan antara lain adalah :

  1. Adat Minangkabau sebelum zaman Parapatieh. Satu pengenalan ringkas
1982/82
  1. Negeri Sembilan melalui masa (dengan merujuk kepada Luak Rembau)
1993
  1. Institusi raja dan keluarga diraja Negeri Sembilan
1995
  1. Peranan institusi adat dalam pembangunan dan pentadbiran tanah
1998
  1. Peranan kepimpinan dalam Adat Perpatih
1997
  1. Sistem masyarakat Negeri Sembilan
1988/89
  1. The Yang Pertuan Besar of Negeri Sembilan and the Yang Dipertuan Muda of Rembau
177/78
  1. Ulasan dan perbincangan lanjut : Beraja ke Johor, Bertuan ke Minangkabau, Bertali ke Siak
1998

Disamping itu beliau pernah dijemput memberi ceramah dan membentangkan kertas kerja berkaitan dengan Adat Perpatih di Kyoto University, Jepun dalam tahun 1996. Dalam negara beliau seringkali diundang untuk membentang dan memberi ceramah berkaitan dengan pensejarahan semula Rembau, Negeri Sembilan dan Adat Perpatih.

Prof Norhalim adalah Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia, Kawasan Rembau, juga merupakan Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Negeri Sembilan merangkap editor Jurnal Warisan. Seiringan dengan hasil dan usahanya, beliau telah dimartabatkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Negeri Sembilan sebagai Pakar Rujuk Sejarah Negeri Sembilan dan Adat Perpatih. Oleh kerana minatnya yang begitu mendalam, tidak hairan beliau sanggup menjelajah hampir seluruh nusantara untuk mengkaji dan menggali semula perkembangan Adat Perpatih.

Profesor Norhalim juga merupakan salah seorang yang bertanggungjawab menyusun adat istiadat kerjan Yang Teramat Mulia Undang Luak Rembau ke 21 agar istiadat dapat disempurnakan mengikut adat istiadat kerjan pada tahun 2001. Dalam tahun 2006 beliau bersama penulis telah menyusun dan mengatur serta melahirkan istiadat pertabalan Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin ke 6, mengikut adat istiadat Luak Tampin, setelah 52 tahun tidak mendirikan adat pertabalan. Begitu juga dengan istiadat kerjan Yang Amat Mulia Orang Kaya Seri Raja Merah Dato’ Penghulu Naning pada 20 Disember 2006 juga bersama dengan penulis.

Namun begitu segalanya adalah penentuan daripada Allah S.W.T. dalam usaha yang masih belum tertuntas mencari, memungut, menggali serta menyusun, perkara yang berkaitan dengan sejarah Negeri Sembilan, Rembau dan terutamanya Adat Perpatih, beliau telah di seru kembali mengadap Rabbul’alamin. Ceramah terakhir yang sempat disampaikan pada 26 Jun 2008 di Dewan Merdeka Rembau dalam mengatur salasilah keturunan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan sempena sambutan ulang tahun Keputeraan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan. Turut hadir bersama Yang Teramat Mulia Dato’ Undang Luak Rembau, Yang Mulia Dato’ Seri Maharaja Hj Khalid bin Bongek. Beliau pernah menyatakan kepada Yang Mulia Dato’ Seri Maharaja Hj Khalid bahawa usahanya akan diteruskan oleh adiknya.

Tak bolagulah sorunai malam,
tak borisik lai riang-riang,
tak bopotik lai kocapi,
tak borusai lai yang kusut,
tak tojoronih yang koroh,
dek,
ilang tak boganti,
cice tak bopongut,
tobonam tak tumboh lai.

2 ulasan: