Selasa, 21 Jun 2011

Pusako Dibonih Pusako Ditumbohkan

Luak Tampin pada hari ini, 21 Jun 2011 bersamaan 19 Rajab 1432 H, jam 10.30 pagi telah mengukir dan melakar sejarah dengan membenih dan menumbuhkan sebuah pusaka suku baru dalam usaha meningkat dan memartabatkan Adat Perpatih di taman perumahan. Pembenihan dan menumbuhkan pusaka suku baru merupakan tindakan menyahut kertas kerja seminar yang diadakan pada tahun 2009. Penduduk Taman Gunung Mas, Tampin Jaya telah mengambil inisiatif membenihkan pusaka suku di taman itu dengan kerjasama daripada JKKT dan Jawatankuasa Surau. Pengerusi JKKT dan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Surau telah berbincang dengan Dato' Panglima Raja Ali, Orang Besar Nan Lapan, Balai Tunku Besar Tampin dan Dato' Andika Pendeta Norzali, selaku Penasihat Adat Istiadat Tunku Besar Tampin. Berikutan itu satu kerapatan dan pemilihan benih penyandang pusaka telah diadakan pada 1 Jun 2011 bertempat di Surau Taman Gunung Mas. Hari ini, di atas perkenan Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Tunku Besar Tampin, ditumbuhkan satu suku baru di Luak Tampin dengan nama Suku Dagang Taman Gunung Mas, Tampin Jaya. Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin juga berkenan mengadap lembaga, bopak, besar dan ibu soko suku baru itu. Istiadat pembenihan dan menumbuhkan pusaka baru dijalankan penuh dengan adat istiadat. TAHNIAH. Suka dimaklumkan pembenihan dan menumbuhkan pusaka baru ini merupakan satu sejarah yang bukan sahaja di Luak Tampin, tetapi Negeri Sembilan amnya. Sejak Adat Perpatih bertapak di Negeri Sembilan dalam tahun 1338, istiadat membenih dan menumbuhkan suku baru ini merupakan julung kali diadakan. Penduduk Taman Gunung Mas mengambil berat dan menjadikan kata adat sebagai realiti kehidupan mereka ; 
cupak sopanjang botuang, 
adat sopanjang bojalan,
ko bukit samo di daki,
ko lurah samo dituruni,
borek samo dipiko,
ghengan samo dijenjeng,
sakit sorang sakit somuo,
malu sorang malu somuo,
boranak sorang monjaga ghamai,
hidup dikandong adat,
mati dikandong tanah,
adat bosondikan syarak,
syarak bosondikan kitabullah.