Toratak atau teratak dapat diistilahkan sebagai rumah atau tempat berteduh. Samang dalam kata adat membawa maksud angkat jadi bila bujang keluar mencari rezeki carilah dulu ibu samang yakni ibu atau keluarga angkat. Ibu atau keluarga angkat mempunyai peranan yang sama dengan ibu atau keluarga kandung. Sekiranya terdapat permasalahan, ibu atau keluarga yang akan bertanggungjawab mengatasi atau menyelesaikannya. Demikian juga dalam perkara berkaitan dengan nikah-kahwin, di mana bila ada pihak luar dari lingkungan Luak Adat Perpatih, digalakkan mencari keluarga samang. Tujuan bila sudah mempunyai ibu atau keluarga samang, semua perkara yang berkaitan dengan apa sahaja permasalahan termasuk istiadat perkahwinan akan diuruskan oleh ibu dan bapa angkat itu. Bagi tujuan harmoni ini, biasanya ibu dan bapa kandung si teruna akan menyerahkan dan memperakui hubungan kekeluargaan diantara kedua belah pihak secara jujur, ikhlas dan suci hati. Biasanya hubungan ini akan berpanjangan terus hingga selama-lamanya.
kok dokek moncari suku,
kok jauh moncari worih,
poi moghantau moncari ibu samang,
baru idup tak tosisih.