Rabu, 13 Julai 2011

Toratak Samang

Toratak atau teratak dapat diistilahkan sebagai rumah atau tempat berteduh. Samang dalam kata adat membawa maksud angkat jadi bila bujang keluar mencari rezeki carilah dulu ibu samang yakni ibu atau keluarga angkat. Ibu atau keluarga angkat mempunyai peranan yang sama dengan ibu atau keluarga kandung. Sekiranya terdapat  permasalahan, ibu atau keluarga yang akan bertanggungjawab mengatasi atau menyelesaikannya. Demikian juga dalam perkara berkaitan dengan nikah-kahwin, di mana bila ada pihak luar dari lingkungan Luak Adat Perpatih, digalakkan mencari keluarga samang. Tujuan bila sudah mempunyai ibu atau keluarga samang, semua perkara yang berkaitan dengan apa sahaja permasalahan termasuk istiadat perkahwinan akan diuruskan oleh ibu dan bapa angkat itu. Bagi tujuan harmoni ini, biasanya ibu dan bapa kandung si teruna akan menyerahkan dan memperakui hubungan kekeluargaan diantara kedua belah pihak secara jujur, ikhlas dan suci hati. Biasanya hubungan ini akan berpanjangan terus hingga selama-lamanya. 

kok dokek moncari suku,
kok jauh moncari worih,
poi moghantau moncari ibu samang,
baru idup tak tosisih.

Jumaat, 8 Julai 2011

Cupak sopanjang botuang, Adat sopanjang bojalan.....

Assalamualaikum, kehidupan manusia di muka bumi tidak boleh lepas atau lari daripada adat, malahan haiwan dan tumbuh-tumbuhan pun mempunyai adat. Adat adalah disiplin, peraturan, tatacara, tatatertib atau undang-undang yang telah sedia terjalin sejak manusia dilahirkan. Setiap bangsa di muka bumi ini mempunyai adat mereka sendiri. Haiwan dan tumbuh-tumbuhan hidup mengikut pusingan yang telah ditentukan oleh Allah, contohnya seekor ayam betina bila bertelur pasti akan berkotak, kucing yang melahirkan anak akan memakam tembuni anak itu. Adat akar tumbuhnya mesti memanjat, anau dalam belukar mesti melepaskan pucuknya lebih dari yang lain. Jadi seandainya manusia megah dikatakan tidak beradat, maka di manakah kedudukannya jika dibandingkan dengan haiwan? 

Tumbuh adat berdasarkan pusingan alam semulajadi, mendasari kehidupan haiwan dan tumbuh-tumbuhan, kerana itulah adat atau disiplin yang tidak akan bertukar atau membohongi dunia. Adat terbahagi kepada dua : Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Adat Temenggung dahulu lebih dikenali sebagai adat tariek baleh dan Adat Perpatih dikenali dengan adat tuah disakato yang diperkenalkan oleh Datuk Perpatih Nan Sabatang atau Sutan Balun. agama Islam sendiri mementingkan tertib atau tatacara dalam semua aspek mendirikanperintah Allah, sama ada bersolat, puasa, menunaikan haji, membaca Al-Quran dan sebagainya. Jadi janganlah megah dikatakan tidak beradat atau megah mengatakan adat itu sudah lapok, yang lapuk bukan adat, tetapi manusia itu sendiri tidak tahu kepentingan adat. Adat itulah yang membentuk jiwa, sahsiah, peribadi dan kejayaan seseorang. 

adat bosondikan syarak,
syarak bosondikan kitabullah,
nan tak lapok dek ujan,
nan tak lokang dek paneh,
kok usang dipobaharui,
kok lapok dikajangi,
kok kuyak ditampa.

Selasa, 21 Jun 2011

Pusako Dibonih Pusako Ditumbohkan

Luak Tampin pada hari ini, 21 Jun 2011 bersamaan 19 Rajab 1432 H, jam 10.30 pagi telah mengukir dan melakar sejarah dengan membenih dan menumbuhkan sebuah pusaka suku baru dalam usaha meningkat dan memartabatkan Adat Perpatih di taman perumahan. Pembenihan dan menumbuhkan pusaka suku baru merupakan tindakan menyahut kertas kerja seminar yang diadakan pada tahun 2009. Penduduk Taman Gunung Mas, Tampin Jaya telah mengambil inisiatif membenihkan pusaka suku di taman itu dengan kerjasama daripada JKKT dan Jawatankuasa Surau. Pengerusi JKKT dan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Surau telah berbincang dengan Dato' Panglima Raja Ali, Orang Besar Nan Lapan, Balai Tunku Besar Tampin dan Dato' Andika Pendeta Norzali, selaku Penasihat Adat Istiadat Tunku Besar Tampin. Berikutan itu satu kerapatan dan pemilihan benih penyandang pusaka telah diadakan pada 1 Jun 2011 bertempat di Surau Taman Gunung Mas. Hari ini, di atas perkenan Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Tunku Besar Tampin, ditumbuhkan satu suku baru di Luak Tampin dengan nama Suku Dagang Taman Gunung Mas, Tampin Jaya. Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin juga berkenan mengadap lembaga, bopak, besar dan ibu soko suku baru itu. Istiadat pembenihan dan menumbuhkan pusaka baru dijalankan penuh dengan adat istiadat. TAHNIAH. Suka dimaklumkan pembenihan dan menumbuhkan pusaka baru ini merupakan satu sejarah yang bukan sahaja di Luak Tampin, tetapi Negeri Sembilan amnya. Sejak Adat Perpatih bertapak di Negeri Sembilan dalam tahun 1338, istiadat membenih dan menumbuhkan suku baru ini merupakan julung kali diadakan. Penduduk Taman Gunung Mas mengambil berat dan menjadikan kata adat sebagai realiti kehidupan mereka ; 
cupak sopanjang botuang, 
adat sopanjang bojalan,
ko bukit samo di daki,
ko lurah samo dituruni,
borek samo dipiko,
ghengan samo dijenjeng,
sakit sorang sakit somuo,
malu sorang malu somuo,
boranak sorang monjaga ghamai,
hidup dikandong adat,
mati dikandong tanah,
adat bosondikan syarak,
syarak bosondikan kitabullah.